Latar belakang Anugerah Industri Muzik ke-15

AIM telah mengalami perubahan ketara dari segi susunan kategori dan kaedah pencalonan. Kategori Album Indonesia Terbaik digugurkan sebagai langkah membendung pengaruh muzik Indonesia yang menjadi bahan aduan ramai pihak.[2] Sebaliknya, kategori Lagu Bahasa Melayu Terbaik yang Dipersembahkan Artis Luar Negara menjadi ganti untuk membuka peluang untuk karya-karya bahasa Melayu bukan buatan Malaysia dari Brunei, Singapura dan Indonesia. Walau bagaimanapun, tahun ini kategori berkenaan menyaksikan semua calonnya dari Indonesia.

Selain itu, AIM memberi pengiktirafan kepada karya muzik Malaysia berbahasa Cina dan Tamil dengan memperkenalkan kategori Album Cina Tempatan Terbaik dan Album India Tempatan Terbaik. Lebih-lebih lagi, kategori Album Pop Rock Terbaik dan Album Hard Rock Terbaik digabung menjadi satu, iaitu Album Rock Terbaik, manakala kategori Susunan Muzik Terbaik Dalam Lagu dipisahkan menjadi dua, iaitu satu untuk lagu bahasa Malaysia dan satu lagi untuk lagu berbahasa lain.